Sunday 15 January 2012

SEDEKAH

Assalamualaikum w.b.t

Insya-Allah kali ini ana kongsikan sebuah hadis dan sebuah kisah tentang sedekah..harap sahabat2 dpt mengambil ibrah dri hadis dan cerita yg ana kongsikan..

Hadis...
Dari Abu Dzar r.a katanya:"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau, "Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka." Jawab Rasulullah SAW:"Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah." Mereka bertanya:"Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?" Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala."
(al-Bukhari)







Kisah....

Di sebuah daerah, ada seorang lelaki yang sangat bakhil dan tidak taat kepada perintah Allah. Dia pernah bersumpah menceraikan isterinya sekiranya memberi sedekah.
Pada suatu hari,datang peminta sedekah ke rumah lelaki kedekut itu. Peminta sedekah itu mengetuk pintu rumah lelaki itu. Isteri lelaki itu membuka pintu dan melihat peminta sedekah itu berdiri di hadapan pintu rumahnya. Peminta sedekah itu berkata kepadanya, “ Demi Allah, tidakkah puan mahu memberi kepada saya sesuatu yang dapat dimakan?”

Isteri lelaki itu baik hati tidak sampai hati melihat keadaan peminta sedekah itu, lalu memberi tiga potong roti. Lelaki kedekut itu melihat peminta sedekah itu keluar dari rumahnya. Dia memanggil peminta sedekah itu dan bertanya, “ Siapakah yang memberi roti itu kepada kamu?”
Peminta  sedekah itu berkata,” Roti ini diberi oleh wanita yang tinggal di rumah itu.”
Lelaki itu dengan perasaan marah masuk ke dalam rumahnya. Dia memanggil isterinya dan berkata, “Bukankah aku melarang kamu daripada memberi sedekah kepada orang lain? Tidakkah kamu ingat akan sumpah yang saya katakan kepadamu dahulu?”
Isteri lelaki itu menjawab dengan tenang, “Saya memberi roti itu kepada peminta sedekah kerana Allah.”
Lelaki itu sudah dikuasai sifat marah pergi ke dapur dan menyalakan tungku dapur . Apabila tungku dapur itu panas, dia pun  berkata kepada isterinya, “Masuklah kamu ke dalam tungku panas itu kerana Allah!”
Isteri lelaki itu bangun dan menuju ke biliknya mengambil barang perhiasan. Lelaki itu berkata kepada isterinya,” Kamu tidak perlu memakai barang perhiasan,”. Isterinya menjawab,” Orang yang bercinta akan berhias untuk kekasihnya. Saya hendak bertemu dengan kekasih saya.”
Isteri lelaki itu pun masuk ke dalam tungku panas itu. Kemudian lelaki kedekut itu pun menutup bahagian atas tungku itu dan meninggalkan isterinya di dalam. Tiga hari kemudian, lelaki itu datang dan membuka tutup tungku itu. Lelaki itu terperanjat kerana melihat isterinya selamat dengan kuasa Allah. Kemudian, dia mendengar suara berkata, “Adakah kamu tidak tahu api tidak membakar kekasihnya!”.



Huraian..
1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.







Ana harap selepas ini, sahabat2 akan lebih tertarik untuk bersedekah..walaupun sedekah kita hanya sedikit tetapi jika kita ikhlas kerana Allah,Insya-Allah sedekah kita amat berharga disisi-Nya..Wallahu a'lam.. ^_^

No comments:

Post a Comment